Monday 10 October 2016

Ulasan Flipped Classroom Prasekolah Siri 1(B)

Kerangka Konsep Flipped Classroom Prasekolah adalah kerangka yang diadaptasi daripada Engestrom's Expended Activity Model Theory, sila rujuk ( http://ro.uow.edu.au/cgi/viewcontent.cgi?article=1434&context=commpapers ) yang menunjukkan perkaitan dan pelibatan kesemua elemen di dalam kerangka adalah elemen yang penting dan menyumbang kepada outcome. 

Perkara yang utama dilihat ialah kaedah yang perlu diambil kira. Kaedah ini menetapkan perkara yang akan menentukan bagaimana dan kenapa personel perlu bertindak dan seterusnya menghasilkan syarat-syarat atau keperluan berinteraksi dengan komuniti. Perkara kedua yang ditekankan ialah agihan tugas atau bidang tugasan. Ini adalah kerana perancangan teliti tugas atau bidang tugasan akan menghasilkan operasi yang berkesan oleh pihak komuniti yang terlibat secara langsung atau tidak langsung.

Teori Aktiviti ini melibatkan penggunaan teknologi sebagai sarana untuk kejayaan mencapai matlamat. Setiap elemen iaitu peralatan/fizikal yang menjurus kepada penggunaan teknologi berkait dengan pemilihan kaedah untuk digunakan oleh personel bagi memastikan konsep kelas prasekolah berjaya dilaksanakan. Justeru itu, matlamat / objektif akan menjadi mudah tercapai. Selain itu, penggunaan peralatan atau kesediaan fizikal perlu kepada perancangan bidang tugas yang melibatkan komuniti juga akan menentukan tercapainya matlamat Flipped Classroom dan seterusnya memastikan kemenjadian outcome iaitu "Murid yang bersedia ke tahun satu dari aspek JERI dan Sosial."

Adaptasi kerangka ini juga mengambil kira hasrat yang digariskan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 (http://www.moe.gov.my/cms/upload_files/articlefile/2013/articlefile_file_003107.pdf)

Rumusan daripada kerangka ini ialah, pihak sekolah (personel) yang terdiri daripada pentadbir, guru dan Pembantu Pengurusan Murid perlu jelas kepada matlamat pelaksanaan Flipped Classroom iaitu untuk menghasilkan murid yang bersedia ke tahun satu. Oleh itu, perancangan teliti oleh semua pihak perlu berlaku bagi memastikan pelaksanaan metodologi PdP Abad Ke-21 ini dapat berlaku dengan berkesan dan memberi impak yang tinggi. Personel juga perlu mengenal pasti kekuatan, kemampuan mereka supaya setiap perancangan berjaya. Selain itu, kelemahan dan ancaman yang mungkin mereka miliki atau akan hadapi perlu dikaji bagi mendapatkan penyelesaian sekiranya perkara tersebut berlaku.

Guru selaku pemunya kurikulum mesti mahir dengan kurikulum mereka dan berupaya menterjemah kurikulum tersebut dalam pelbagai kaedah PdP. Yang jelas, PdP prasekolah mestilah pembelajaran melalui bermain (learning through play) dan pembelajaran yang menyeronokkan (fun learning).

No comments:

Post a Comment