Friday 20 October 2017

Expending PAK21: Flipped Classroom Prasekolah


Assalamualaikum...

Pada 13 Oktober yang lalu saya telah dijemput untuk berkongsi amalan terbaik FC Prasekolah di Forum SIPartners+ dan SISC+ Peringkat Kebangsaan. Peserta yang hadir terdiri daripada insan-insan hebat dalam dunia pendidikan Malaysia: Timbalan Pengarah semua Jabatan Pendidikan Negeri, SIPartners+ dan SISC+. Terasa sedikit gusar tetapi Alhamdulillah semuanya berlangsung dengan baik. Terima kasih saya ucapkan kepada rakan-rakan guru prasekolah yang telah mengamalkan pedagogi FC dan hadir menbantu semasa sesi soal jawab. Insan-insan cemerlang tersebut ialah Jalilah binti Mahat: SK Kelana Jaya 2, Rozielawati binti Ahman: SK Kampung Tunku, Fazidah binti Pauzul Wafir: SK Bandar Utama Damansara 2 dan Ain yang sedang melanjutkan pelajaran di peringkat Sarjana di UKM.

Saya telah melakukan beberapa penambahbaikan kepada penerangan konsep FC bagi memudahkan kefahaman peserta. Kali ini saya ingin berkongsi slaid yang saya guna semasa pembentangan tersebut...

"Expending PAK21: Flipped Classroom Prasekolah" adalah tajuk yang diberikan oleh pihak Urus Setia kepada pembentangan saya. Bunyinya menarik walaupun gabungan dua bahasa... Gambar di slaid pertama ini adalah ihsan Cikgu Izarni Sabrina dari SK Penggu, Kelantan. Rasanya aktiviti membuat kapal terbang menggunakan timun adalah antara aktiviti awal beliau semasa dalam tempoh rintis. 
Pengalaman saya membuat pembentangan di peringkat antarabangsa mengajar saya tentang format pembentangan...setiap pembentangan perlu ada kerangka supaya mereka yang hadir tau apa yang akan mereka terima. Pengetahuan awal tentang sesuatu yang baru akan membuatkan kita selesa untuk mengikuti perkara tersebut...seperti amalan di FC.
Murid dimaklumkan 'apa' yang akan mereka pelajari di sekolah lebih awal dengan pelaksanaan aktiviti bersama-sama ibu bapa di rumah...

Setiap sesuatu mesti ada permulaan...dapatan di atas adalah titik tolak kepada kajian rintis dan pelaksanaan FC

Konsep Pendidikan Prasekolah ini dibangunkan selepas menggali KSPK, mendalami ilmu pendidikan awal kanak-kanak, psikologi kanak-kanak pada usia prasekolah dan juga sosiologi pendidikan awal kanak-kanak. Saya merangka konsep ini dan dibentangkan kepada para pensyarah IPG Pendidikan Awal Kanak-Kanak dan Prasekolah, Pegawai Bahagian Pembangunan Kurikulum dan beberapa pakar Pendidikan Awal Kanak-Kanak dari UPSI dan USM.

Pembinaan kerangka konsep yang mantap akan menjadi asas kepada pelaksanaan suatu pembaharuan yang baik. Terima kasih kepada Ain yang menggunakan kerangka ini dalam pembentangan poster beliau dan memenangi pengiktirafan emas bagi Hari Inovasi Fakulti Pendidikan, UKM. Sekiranya beliau tidak mengenengahkan kerangka FC dan Konsep Pendidikan Prasekolah FC, saya tidak mengetahui yang kedua perkara yang saya bina tersebut adalah betul dan sesuai diguna pakai. Bagi ilmu ini, saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada Prof. Abdullah dari Fakulti Pendidikan UKM yang kini telah bersara. Ilmu membina kerangka konsep ini telah saya pelajari dari beliau yang sangat komited dalam mendidik saya semasa tempoh pengajian Sarjana Pendidikan dalam pengkhususan Sosiologi Pendidikan

'Learn Before Learn' adalah rumusan saya berkenaan FC secara umum. FC Prasekolah adalah pedagogi yang diadaptasi dari model asal FC dan dibuat modifikasi mengikut kesesuaian kurikulum dan prinsip pendidikan prasekolah. Perbincangan bermula dari proses 'sebelum PdP'...
Pembelajaran murid bermula dari rumah dan disambung di sekolah menerusi pelaksanaan aktiviti berpusatkan murid yang menggalakkan proses inkuari penemuan, eksplorasi, berasaskan projek dan paling utama ialah belajar melalui bermain.
Pelibatan ibu bapa dalam proses pengisian input asas boleh dilakukan melalui banyak cara, antaranya...

Sekolah yang berada dalam komuniti yang tiada kemudahan teknologi atau guru prasekolah sendiri tidak bersedia untuk menggunakan kemudahan teknologi boleh terus menggunakan kaedah notis di luar bilik darjah atau pun penghantaran memo kepada ibu bapa / penjaga. Apa yang penting adalah isi atau kandungan notis dan memo dapat difahami mereka. Kefahaman ibu bapa / penjaga terhadap objektif pembelajaran yang hendak dicapai akan membantu guru memastikan matlamat PdP tercapai. Komunikasi yang berlaku mestilah berhemah dan jelas...Bak kata watak dalam filem arwah P. Ramlee...cakap biar terang...😁

Bagi guru yang 'IT savvy' penggunaan aplikasi 'Whatapps' pada masa sekarang sangat membantu... tetapi seperti yang saya jelaskan di atas, kandungan notis dan memo mesti dapat difahami oleh ibu bapa / penjaga

Komunikasi yang berkesan antara guru dan ibu bapa / penjaga berupaya membuahkan hasil positif...bukti menunjukkan ibu bapa / penjaga sangat proaktif dan sentiasa bersedia untuk bersama-sama guru melaksanakan pembelajaran. Oleh itu, konsep Learn Before Learn adalah tidak mustahil...

Slaid ini terpaksa diulang tayang...😀. Kalau semasa pembentangan boleh dimasukkan hyperlink tapi di blog terpaksa ulang tayang sehingga matlamat tercapai...😎
Seterusnya saya akan menjelaskan proses semasa PdP. Saya dapati terdapat kekeliruan dalam pelaksanaan aktiviti lebih daripada satu pada satu masa. Jadual prasekolah telah menetapkan 850 minit seminggu bagi Aktiviti Pembelajaran (AP). Pada waktu itu dimaklumkan pelaksanaan aktiviti bersepadu, oleh itu, pelaksanaan aktiviti berpusatkan murid seperti yang diterapkan dalam pedagogi FC Prasekolah boleh dilakukan pada ketika itu. Persoalan seterusnya..kenapa 2 atau 3 aktiviti serentak? Seperti yang dijelaskan dalam slaid di atas, FC meggalakan independent learning kerana kaedah ini akan membantu guru dalam melakukan pentaksiran berterusan terhadap murid. Guru dapat mengenal pasti murid yang telah menguasi sesuatu kemahiran yang mesti dicapai murid, murid yang masih dalam proses penguasan kemahiran tertentu dan juga murid yang lemah. Guru boleh segera membantu murid yang masih tidak menguasai kemahiran yang dihasratkan. 

Perkongsian aktiviti yang berlaku semasa tempoh PdP adalah seperti berikut...










Selepas PdP adalah satu proses penilaian semula terhadap semua perkara yang berlaku semasa PdP. Jika dahulu, guru yang akan membuat rumusan tentang apa yang diajar kepada murid, pedagogi FC Prasekolah menggalakkan murid untuk berkongsi perkara yang telah mereka lakukan semasa proses PdP. Guru perlu sentiasa memberi ruang dan peluang untuk murid meningkatkan kemahiran mereka. Guru melengkapkan ruang refleksi di Rancangan Pengajaran Harian mereka sahaja dengan tujuan untuk menambah baik proses aktiviti, memastikan murid mencapai objektif pembelajaran dan mencatat perkembangan murid.



Pedagogi FC Prasekolah memberi peluang kepada guru untuk melaksanakan Pembelajaran Berasaskan Aktiviti. Antara ciri PAK21 ialah pembelajaran berasaskan aktiviti di mana murid diberi ruang dan peluang untuk menjadi aktif, malah proaktif semasa proses PdP. Murid boleh berkreatif dan berseronok semasa proses pembelajaran berlaku. FC juga menggalakkan penggunaan pelbagai teknologi dalam pendidikan. Teknologi yang dipilih perlu bersesuaian dengan lokasi, kemampuan sekolah, murid dan keluarga yang terlibat. Gabungan Pembelajaran Berasaskan Aktiviti dan penggunaan teknologi dalam pendidikan seterusnya mempengaruhi suasana pembelajaran.
Guru perlu faham konsep FC Prasekolah, Terjemahan kepada pedagogi ini adalah bergantung kepada kefahaman guru untuk berkreatif dalam memastikan Learn Before Learn berlaku dan mereka boleh berkreatif dalam merangka aktiviti pembelajaran yang bermakna.  Apabila guru menggunakan pedagogi ini, ia bermakna PAK21 telah berlaku...


Saya berharap guru yang berminat dengan FC Prasekolah dan ingin menggunakan pedagogi ini perlu menguasai KSPK dengan baik bagi menterjemahkan kandungan kurikulum kepada PdP yang bermakna dan berkesan.