Monday 10 October 2016

Flipped Classroom Prasekolah Siri 2


Siri 2 ini saya ingin berkongsi lebih lanjut tentang Flipped Classroom. Sebelum saya meneruskan penerangan ini, saya ingin berkongsi kata-kata di bawah.Pernyataan di bawah adalah sangat benar dan menjelaskan cara yang betul kita sediakan pendidikan kepada murid prasekolah.
 


Sesungguhnya mereka memang belajar pada ketika mereka bermain. Tetapi oleh kerana kita dibekalkan dengan kurikulum, maka sebagai guru kita mesti memastikan standard kandungan kurikulum dikuasai oleh murid sebagaimana yang dihasratkan.

Apa yang dimaksudkan dengan Flipped Classroom?

Flipped Classroom adalah kaedah pedagogi yang menyonsangkan amalan PdP biasa di mana penyampaian dan/atau pencarian maklumat baharu berlaku di luar waktu PdP, manakala aktiviti berpusatkan murid berlaku secara aktif di dalam kelas.

Flexible environment - pembelajaran boleh berlaku di mana dan di ketika mana pun. Pembelajaran tidak hanya berlaku di dalam kelas, dan guru bukan satu-satunya penyampai ilmu kepada murid. Pendidikan awal seorang kanak-kanak bermula dari rumah dengan ibu bapa atau penjaga sebagai guru yang pertama. Proses dan peranan guru di rumah boleh terus berlaku walaupun kanak-kanak telah menjejak kaki ke alam persekolahan di prasekolah. kesinambungan proses pembelajaran antara sekolah dan rumah akan berupaya meningkatkan kualiti perkembangan seorang kanak-kanak. 
Guru sebagai pemilik kurikulum seharusnya mampu untuk fleksibel merancang kaedah pembelajaran dengan mewujudkan sinergi antara guru dan ibu bapa. Guru juga seharusnya fleksibel dalam merancang susun atur kelas supaya bersesuaian dengan aktiviti yang hendak dilaksanakan.

Learning culture -  pembentuk budaya belajar bermula daripada seorang guru, terutamanya bagi murid prasekolah. Oleh itu, bagi Flipped Classroom, guru perlu menjadikan pembelajaran yang berpusatkan murid, dengan melaksanakan aktiviti yang interaktif dan bermakna. Sebelum pelaksanaan aktiviti, guru perlu memastikan murid telah diberi pendedahan kepada perkara yang akan dipelajari dan ianya berlaku di luar waktu PdP. 

Intentional content - kurikulum adalah sumber PdP utama. Guru perlu menetapkan objektif pembelajaran dan bijak memilih bahan bantu mengajar dan aktiviti yang berpusatkan murid. Semua yang dirancang mestilah sesuai dengan keupayaan dan kesediaan murid.

 Profesional educator - sebagai seorang profesional, guru mestilah sentiasa bersedia untuk meningkatkan ilmu pengetahuan mereka tanpa menunggu dipanggil untuk mengikuti kursus dalam perkhidmatan atau lain-lain kursus.Ilmu pengetahuan yang terkini akan membantu guru untuk menjadi profesional dalam pelaksanaan kurikulum dan PdP. Selain itu, ia juga akan membantu guru untuk menyesuaikan situasi pembelajaran dengan objektif, bahan PdP dan kawal selia tingkah laku murid. Guru juga akan berupaya untuk menjadi fasilator dan pendorong yang efektif sebelum, semasa dan selepas pelaksanaan aktiviti.


Perbandingan Kelas Prasekolah Biasa (Tradisional) dan Flipped Classroom Prasekolah
 


Pelaksanaan di prasekolah adalah adalah adaptasi dan modifikasi konsep Flipped Classroom berdasarkan prinsip pendidikan awal kanak-kanak. Pelaksanaan Flipped Classroom memerlukan guru faham konsep proses Pengajaran dan Pembelajaran berikut. Proses PdP bermula dengan kurikulum yang menepati keperluan pendidikan dengan penggunaan pedagogi yang berkesan dan berimpak tinggi. Seterusnya dilaksanakan pentaksiran berterusan bagi meningkatkan kualiti kurikulum serta pengolahan pedagogi bagi memastikan murid mencapai objektif pembelajaran.


Guru perlu memahami KSPK dan menyusun semula keperluan penguasaan kemahiran dalam tunjang mengikut kesesuaian murid dan situasi semasa. Perancangan yang teliti akan membantu guru melaksanakan aktiviti berpusatkan murid dengan jayanya. Murid perlu diberikan tugasan yang spesifik dan mudah difahami oleh mereka. Kejayaan menyelesaikan tugasan akan membantu murid menjadi lebih yakin dan berminat untuk terus melakukan tugasan yang seterusnya.

Guru perlu mempelbagaikan jenis aktiviti dengan merujuk kepada penguasaan kemahiran yang digariskan dalam KSPK. Justeru itu, guru perlu melakukan pencarian bahan mengajar tambahan dari pelbagai sumber bagi meningkatkan kreativiti murid dan keseronokan belajar.

Perancangan P&P yang teliti dan menarik dapat membantu guru mentaksir murid dengan lebih objektif sepanjang masa terutama semasa proses pelaksanaan tugasan dan juga hasil tugasan.

Setiap guru yang ingin melaksanakan Flipped Classroom prasekolah perlu menyoal diri mereka berdasarkan soalan-soalan berikut:

1.         Bagaimana saya perlu merancang secara sistematik dan membuat refleksi berkenaan P&P saya dan belajar daripadanya serta pengalaman orang lain?
2.         Bagaimana dan bila saya berinteraksi secara interaktif dengan murid serta  mendengar idea dan pandangan mereka?
3.         Adakah perancangan jadual kelas saya memberi ruang dan peluang untuk murid berfikir, berbincang dan membuat refleksi kepada idea, pengalaman dan perasaan mereka?
4.         Bagaimanakah caranya untuk saya merangsang minat dan rasa ingin tahu murid bagi setiap aktiviti individu dan berkumpulan?
5.         Adakah persekitaran kelas saya bersesuaian dan membantu proses pembelajaran berkesan pada setiap masa?
6.         Apakah jenis maklumat berguna yang saya dapat daripada setiap murid secara individu melalui proses pentaksiran dan bagaimana saya menggunakan maklumat tersebut untuk menambah baik P&P saya?



 

7 comments:

  1. Assalamualaikum dan salam sejahtera admin blog. saya minta izin menggunakan fakta dalam blog ini untuk saya dalam proses mencari maklumat mengenai tesis sarjana muda saya. Harap admin ambil maklum dan halalkan perkongsian ilmu ini :)

    ReplyDelete
  2. Waalaikumussalam. Admin tiada masalah cuma mohon untuk dimasukkan nama blog sebagai sumber rujukan dan tidak menganggap penemuan ini sebagai inovasi puan. Selamat maju jaya dalam pengajian dan semoga menjadi guru yang berdedikasi.

    ReplyDelete
  3. Mohon keizinan untuk berkongsi info ini dengan rakan-rakan guru prasekolah yang lain demi kecemerlangan prasekolah.

    terima kasih

    ReplyDelete
    Replies
    1. Silakan. Jika ada perkara yang masih kurang jelas boleh bertanya di sini...

      Delete
  4. Assalamualaikum admin, mohon kebenaran untuk ambil maklumat dalam blog untuk bantu saya dalam tesis ism saya. terima kasih.

    ReplyDelete
  5. Assalamualaikum admin...mohon kebenaran untuk mengambil dan menggunakan fakta dalam proses pencarian maklumat tentang FC dan untuk berkongsi info juga dengan rakan-rakan yang lain, terima kasih.

    ReplyDelete