Monday 10 October 2016

Flipped Classroom Prasekolah Siri 1


Salam...
Pada ketika ini dan seterusnya saya InsyaAllah akan menulis dalam Bahasa Melayu kerana saya ingin memanfaatkan ruang ini untuk berkongsi ilmu dengan rakan-rakan maya sedikit ilmu yang saya perolehi selama saya melakukan tugasan di bidang Pendidikan Prasekolah. 

Sejarah bermula...
Pada tahun 2015 saya telah mendapat tugasan yang berat apabila diminta untuk membuat penambahbaikan terhadap kualiti kemenjadian murid prasekolah. Sedikit kaget, saya menyahut mandat yang diberikan. Kajian lapangan dan pembacaan berkenaan peningkatan kualiti pendidikan prasekolah saya lakukan. Kesimpulan yang dapat saya buat:
  • kelas prasekolah perlu kepada suasana yang mampu menarik kanak-kanak untuk berada didalamnya
  • kelas prasekolah perlu menjadi medium pembelajaran kanak-kanak tersebut
  • kelas prasekolah perlu menjadi padang permainan kanak-kanak di mana mereka belajar sesuatu pada ketika mereka bermain.
Konsep pendidikan prasekolah berikut telah dibina bagi menggambarkan keperluan sebenar dalam pelaksanaan prasekolah.


Ruang kelas dan suasana pembelajaran yang kondusif serta perancangan aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang jelas berfokus akan meningkatkan minat belajar murid. Apabila murid mempunyai minat yang tinggi terhadap pembelajaran, proses percambahan ilmu dan penguasaan kemahiran akan berlaku dengan lancar dan memberi impak kepada outcome pendidikan prasekolah.

Artikel “The Irresistible Classroom – Getting The Learning Environment Right In Early Education  (Jaggo, 2014) menjelaskan bahawa kanak-kanak berusia di peringkat prasekolah belajar melalui penerokaan, pergerakan, imaginasi, perasaan ingin tahu, penuh kreativiti dan hands-on experience melalui kaedah bermain. Elemen-elemen ini penting dalam menghasilkan persekitaran yang kondusif dan menepati keperluan kanak-kanak.

Ruang atau pusat pembelajaran (Learning Centre) murid perlulah menjadi satu tempat yang menarik kanak-kanak untuk hadir ke sekolah iaitu terdapat elemen yang menyeronokan, cantik, kreatif dan belajar tetapi pada masa yang sama kanak-kanak boleh kekal sebagai kanak-kanak (Jaggo, Nurney. Co. Carlow. 2014). Prinsip kelas yang kondusif dan berkesan bagi kanak-kanak prasekolah adalah seperti Rajah di atas. Pusat Pembelajaran boleh diolah mengikut kemahiran utama yang perlu dikuasai murid sebagai asas persediaan mereka untuk mengikuti pendidikan formal di Tahun Satu.

Persekitaran pembelajaran (Jaggo, Nurney. Co. Carlow. 2014) yang menepati kriteria seperti yang dinyatakan perlu kepada persekitaran yang menyokong pembelajaran yang berasaskan aktiviti (Mara. 2011). Pembelajaran ini menggalakkan murid berinteraksi secara aktif dan bermakna mereka akan bergerak daripada satu tugasan kepada tugasan yang lain yang dilaksanakan dalam pusat pembelajaran. Konsep ini memberikan ruang dan peluang kepada kanak-kanak untuk belajar mengikut minat dan keupayaan mereka sebagai individu. Mereka juga berpeluang melakukan penerokaan dan mencari jawapan kepada isu yang timbul semasa mereka menyelesaikan tugasan. Kaedah ini menggalakkan kanak-kanak berimaginasi dan berkreatif semasa melakukan aktiviti.

Objektif

1.         Meningkatkan kualiti pendidikan prasekolah.
2.         Menyusun susun atur kelas prasekolah yang berfokuskan murid dan mewujudkan suasana pembelajaran yang kondusif.
3.   Menyediakan satu model pembelajaran yang berfokus kepada minat dan kecenderungan murid.
4.    Menerapkan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) menerusi kemahiran berbahasa melalui aktiviti Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
5.         Mempraktiskan pembelajaran yang menyeronokkan dengan aplikasi kaedah belajar melalui pendekatan bersepadu iaitu bermain, kerja kumpulan, penerokaan dan berteraskan projek.
6.         Meningkatkan kemahiran psikomotor murid melalui aktiviti yang aktif dan menyeronokkan. 

Kerangka Konsep




Perkara-perkara yang dinyatakan dalam kerangka konsep (Zurita & Nussbaum, 2007) di atas adalah perkara yang penting untuk ditangani dalam memastikan kejayaan pelaksanaan Flipped Classroom prasekolah ini. 

Konsep Flipped Classroom prasekolah akan memastikan cadangan berikut dilaksanakan:

1.         Guru diberikan latihan yang berfokus kepada pelaksanaan P&P berpusatkan murid dan aktiviti.
2.      Murid diberikan lebih banyak ruang dan peluang untuk membuat penerokaan. Mereka  melakukan aktiviti mengikut kemampuan individu serta minat. Aktiviti yang dirancang guru adalah berbentuk tugasan hands-on experiences supaya murid lebih memahami apa yang mereka belajar.
3.     Ruang pembelajaran memerlukan penyusunan bahan bantu mengajar dan peralatan pelaksanaan aktiviti yang bersesuaian mengikut tema/topik. Dekorasi yang tidak menyumbang kepada keberkesanan pelaksanaan aktiviti tidak perlu diadakan.
4.         Aplikasi kaedah yang bersepadu dalam memastikan objektif dan matlamat KSPK dicapai.
5.         Pembantu Pengurusan Murid perlu lebih aktif dalam mengawal selia murid semasa pelaksanaan P&P.
 



Kenapa Perlu Flipped Classroom Prasekolah?
 
Suasana pembelajaran yang kondusif dan berkesan adalah antara faktor penting dalam memastikan kemenjadian murid. Pewujudan bilik darjah Abad
Ke-21 perlu berlaku bermula dari peringkat prasekolah. Flipped Classroom prasekolah mencakupi dua aspek penting dalam proses pembelajaran murid. Aspek-aspek tersebut ialah membentuk susun atur fizikal kelas dan model pengajaran dan pembelajaran (P&P) yang berpusatkan murid.
           
Fizikal kelas merujuk kepada susun atur kelas Abad Ke-21 yang menggalakkan pembelajaran berfokuskan aktiviti murid. Flipped Classroom prasekolah menyediakan lima jenis pelan lantai. Kelima-lima pelan lantai memberi gambaran kepada fokus pelaksanaan aktiviti murid. Berdasarkan pelan lantai yang dicadangkan, murid tidak ditempatkan di satu lokasi yang sama di sepanjang proses P&P.

Susun atur kelas diolah kepada ruang pembelajaran mengikut perancangan aktiviti. Bentuk susun atur ruang pembelajaran memberi peluang kepada murid untuk melaksanakan aktiviti berasaskan projek. Mereka menyelesaikan tugasan yang diberi oleh guru dengan menceritakan dan menilai hasil tugasan tersebut. Pembelajaran sebegini memberi murid lebih ruang dan peluang untuk mendalami proses pembelajaran yang menepati konteks situasi sebenar. Elemen KBAT dan STEM dapat diterapkan dalam aktiviti yang berbentuk penyelesaian tugasan ini. Kaedah
P&P berteraskan aktiviti murid ini juga berupaya menggalakkan P&P yang menyeronokkan kerana murid dapat belajar melalui penerokaan, eksperimentasi, kreativiti, saling berkongsi maklumat dan mendorong mereka untuk berinovasi.




2 comments:

  1. Tq teacher.
    Saya suka artikel ini dan bagus utk guru spt saya.

    ReplyDelete
  2. saya nk ctc puan utk info lanjut berkaitan FC...bagaimana caranya?

    ReplyDelete