Monday 10 October 2016

Ulasan Flipped Classroom Prasekolah Siri 1 (A)

Setiap penulisan perlukan penjelasan. Semoga saya mampu menggunakan bahasa yang mudah difahami dalam ulasan siri 1 ini.

Konsep Pendidikan Prasekolah yang diketengahkan telah menggunakan prisip spiral dimana kelas prasekolah dijadikan sebagai teras kepada konsep. Kenapa kelas prasekolah sebagai teras? Saya telah diberi rezeki oleh Allah Ta'ala untuk menimba ilmu pengetahuan berkenaan pendidikan prasekolah di negara China dan Thailand. Mungkin pengalaman di dua negara tersebut tidaklah setanding mereka yang telah mengeliling dunia dan membuat  lawatan penandaarasan ke serata lokasi. Pengalaman saya hanya menimba ilmu ke dua negara tersebut dan perkongsian ilmu bersama-sama pengusaha sekolah antarabangsa di sekitar Kuala Lumpur. Tetapi dengan peluang yang dikurnia Allah kepada saya, tidak saya lepaskan untuk bertanya dan bertukar-tukar fikiran.

Ok, kembali kepada pokok persoalan. Kenapa kelas dijadikan sebagai teras konsep. Prasekolah adalah pendidikan awal yang diberikan kepada kanak-kanak berumur 4+ dan 5+. Mereka perlu kepada ruang fizikal yang mampu menarik mereka untuk kekal dengan nyaman selama 4 jam sehari. Naluri manusia memang menyukai kepada tempat yang menarik dan sekiranya tempat tersebut menyeronokkan lagi mengembirakan, maka kita akan mahu berulang kali ke tempat tersebut. Senario yang sama perlu disediakan kepada kanak-kanak yang berusia 4+ dan 5+.  Oleh itu, Kelas Prasekolah perlu menjadi suatu tempat yang mempunyai ciri-ciri berikut:

  1. Tempat yang cantik
  2. Tempat untuk belajar
  3. Tempat yang mengalu-alukan kanak-kanak 
  4. Tempat yang hebat untuk kanak-kanak
  5. Tempat yang mampu mendorong kanak-kanak berkreatif
  6. Tempat yang membenarkan kanak-kanak untuk menjadi kanak-kanak
Kelas prasekolah yang telah melengkapi ciri yang dinyatakan di atas seharusnya juga mampu menyediakan ruang dan peluang untuk kanak-kanak menguasai 8 perkara berikut seperti yang digariskan dalam Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan (KSPK):
  1. Literasi Media
  2. Literasi Kewangan
  3. Literasi Kesenian dan Kreativiti
  4. Ecoliteracy
  5. Literasi Siber
  6. Kecergasan Fizikal dan Literasi Kesihatan
  7. Literasi Globalisasi dan Kepelbagaian Budaya
  8. Literasi Sosial dan Emosi
Kaedah untuk murid mencapai 8 perkara yang dinyatakan di atas boleh berlaku dengan cara pembelajaran yang berasaskan pemerhatian, eksplorasi dan pengalaman sendiri (hands on experience).

Kemampuan dan kebolehlaksanaan konsep kelas prasekolah tersebut akan menjadikan pendidikan prasekolah sebagai satu wadah penyampaian ilmu yang berkesan dan berimpak tinggi.

Entri ulasan yang berikutnya saya akan menjelaskan Kerangka Konsep Flipped Classroom Prasekolah...

No comments:

Post a Comment